BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANPMX

Anwar gesa percepat projek infrastruktur demi kepentingan rakyat

BUTTERWORTH – Semua agensi kerajaan serta syarikat pengendali yang terbabit dalam projek berkaitan infrastruktur digesa mempercepatkan pelaksanaan pembinaan bagi memastikan kepentingan rakyat dan ekonomi negara terus terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi cemerlang Malaysia yang kini mendapat pengiktirafan dunia telah membuka banyak peluang pelaburan baharu ke negara ini, sekali gus menuntut peningkatan prasarana bagi memenuhi keperluan pelabur.

“Tidak banyak negara yang mampu capai apa yang kita lakukan. Kita tidak pernah sempurna, malah saya tidak pernah mengaku kita ini sudah sempurna. Kalau memang kelemahan harus kita betulkan. Kelewatan tidak harus berlaku dan perlu dipercepatkan,” katanya.

Anwar menegaskan, antara punca kelewatan projek infrastruktur adalah amalan rasuah, justeru kerajaan memberi amaran tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

“Kerajaan hari ini membantah rasuah (yang menjadi punca kepada kelewatan) dan ia masih berlaku. Kita (kerajaan) bagi amaran dan bagi laluan sepenuhnya kepada SPRM, polis, LHDN jalan kerana itu tanggungjawab mereka.

“Jadi, kita dapat kumpul dana yang besar, menyelamatkan negara dari ketirisan dan pemborosan dan rasuah. Jadi agendanya belum selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek penyuraian trafik itu amat penting bagi mengatasi kesesakan yang sekian lama menjadi keluhan pengguna lebuh raya dan penduduk setempat di kawasan utara Semenanjung Malaysia.

“Keselesaan rakyat dari segi pengangkutan lebuh raya dan dapat menyakinkan yang saya nak sebut mengenai Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di daerah Kerian, yang pakar kita bila berunding dengan pelabur, nyatakan ia kata ada pelabuhan di Pulau Pinang, lapangan terbang tetapi jalan raya sesak.

“Jadi pelabur dia bangkitkan isu ini kesesakan trafik, pada masa itu saya kata saya bagi jaminan yang kita akan selesaikan dan hari ini Alhamdulillah peringkat pertama dah selesai,” katanya.

Untuk rekod, projek PTJSD yang menelan kos dianggarkan RM3 bilion dengan panjang 17.3 kilometer merupakan antara inisiatif penting kerajaan bagi menyuraikan trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, sekali gus menyelesaikan isu kesesakan yang menjejaskan ekonomi kawasan utara.

Masalah kesesakan di laluan berkenaan sudah lama membelenggu pengguna, khususnya pada waktu puncak, musim cuti dan perayaan.

Justeru, pelaksanaan projek tersebut dijangka memberi kelegaan besar kepada rakyat serta memperkukuh kelancaran jaringan ekonomi negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button