
Anwar, PM Vietnam bincang situasi di Myanmar, tarif AS
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan satu panggilan telefon dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh semalam, bagi membincangkan tindakan bersama ASEAN terhadap keadaan di Myanmar serta tarif perdagangan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara sepakat bahawa bantuan kemanusiaan kepada semua rakyat Myanmar perlu diteruskan tanpa sebarang sekatan.
“Adalah penting untuk semua pihak memastikan gencatan senjata mesti dikekalkan bagi menjamin keselamatan para petugas bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Mengulas mengenai isu tarif AS, Anwar berkata, Malaysia telah menghantar wakil menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam usaha mencapai penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara.
Anwar berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia memohon pertimbangan Amerika Syarikat supaya Negara-Negara Anggota ASEAN diberi ruang menggunakan mekanisme hubungan dua hala dalam mencapai penyelesaian yang baik bagi perkara tarif timbal balas ini.
“Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa berlandaskan prinsip saling menghormati, kerjasama dan kesejahteraan bersama.
“Semoga segala usaha ini membuahkan hasil yang membawa keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat di seluruh rantau,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |