BERITA SEMASAPMX

Anwar jumpa Thaksin, bincang usaha perkukuh hubungan Malaysia-Thailand

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan mantan Perdana Menteri Thailand, Dr. Thaksin Shinawatra, semalam.

Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu, beliau berbincang mengenai beberapa isu penting, termasuk peranan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.

Anwar berkata, percbincangan mereka tertumpu kepada beberapa isu kritikal serantau, antaranya usaha meningkatkan ekonomi, perkembangan teknologi baharu, usaha damai di Selatan Thailand, serta usaha merungkai krisis di Myanmar.

“Kepakaran dan rangkaian hubungan yang luas dimiliki oleh Dr. Thaksin membolehkannya memainkan peranan penting dalam membuka peluang-peluang bagi Malaysia dan ASEAN untuk menangani cabaran-cabaran ini dengan penuh keyakinan dan keberkesanan,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook milik beliau hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, beliau dan Thaksin turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand, selaras dengan visi dan persefahaman yang telah dikongsi Anwar bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu bahawa Malaysia dan Thailand mampu mencipta pelbagai kejayaan bersama demi kebaikan kedua-dua negara dan juga rantau ini. Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” tambahnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, perbincangan itu dijangka akan memperkukuh lagi hubungan baik antara Malaysia dan Thailand, sekali gus memberi impak positif terhadap kerjasama serantau dalam pelbagai aspek.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button