BERITA SEMASA

Anwar gesa rakyat merdeka daripada penjajahan minda

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemerdekaan sebenar tidak hanya bermaksud bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi turut meliputi kebebasan berfikir dan keberanian membentuk idea berpaksikan nilai, etika serta akar budaya bangsa sendiri.

Menurut beliau, meskipun negara sudah hampir tujuh dekad merdeka, sebahagian besar masyarakat masih belum bebas daripada pemikiran lama yang diwarisi daripada penjajah.

“Kita belum merdeka sepenuhnya dari segi idea. Negara sudah merdeka, pimpinan silih berganti, tetapi pemikiran masih terperangkap dalam acuan lama. Belum bebas untuk membentuk kerangka baharu berasaskan keyakinan dan akar kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Bicara Idea Negara dan Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Anwar berkata, pembebasan minda penting agar rakyat tidak terus terikat dengan cara fikir usang dan jumud yang menghalang kemajuan bangsa.

“Kalau kita mahu membina negara, idea mesti segar dan progresif. Tidak boleh jumud, tidak boleh hanya mengulang pandangan lama tanpa nilai dan arah baharu,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan budaya ilmu sebagai asas kepada kebangkitan negara serta pembentukan generasi yang mampu mencetuskan perubahan positif.

“Kita sudah ada universiti, profesor dan buku-buku di perpustakaan, tetapi masih ada idea kolot menjalar, termasuk menghina orang lain kerana warna kulit, kedudukan atau budaya.

“Kita mahu anak muda melahirkan idea pendorong yang menegakkan keadilan, kemanusiaan dan perpaduan, supaya Malaysia menjadi negara besar dan dihormati,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut menyeru golongan mahasiswa untuk berani mencetuskan idea baharu yang membawa perubahan dan menolak politik kebencian.

“Kita mahu angkatan muda yang menunjukkan keberanian menegakkan kebenaran dan keadilan serta menolak unsur yang merosakkan akal budi negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button