BERITA SEMASA

Anugerah Lagu Indie kembali lagi, pencalonan dibuka hingga hujung bulan ini

KUALA LUMPUR – Anugerah Lagu Indie akan kembali lagi pada tahun ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM36,000.

Menurut Penerbit Eksekutif Bersama Anugerah Lagu Indie, Ahmed Faris Amir, untuk tahun ini, acara itu diberikan nafas baharu apabila memperkenalkan kategori lagu terbaik di bawah genre pop, rock, dan hip hop.

“Pada masa sama menambah baik format pemarkahan dengan melibatkan undian awam; serta meningkatkan tawaran hadiah wang tunai terkumpul daripada RM10,000 pada musim pertama kepada RM 36,000 pada musim ini,” katanya.

Menurut Ahmed Faris lagi, anugerah ini yang telah dianjurkan sebagai acara tahunan sejak tahun 2020 bertujuan untuk memberdayakan komuniti muzik indie tempatan dengan menyediakan platform mencungkil bakat mencipta lagu.

“Semenjak penganjurannya bermula tahun 2020, Anugerah Lagu Indie masih meraikan pelbagai genre kerana industri indie bukan sekadar muzik rock alternatif, tetapi merentasi pelbagai sempadan runut, bunyi dan komposisi,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, anugerah ini sedang dalam fasa pencalonan yang akan berakhir pada 31 Januari ini dan acara kemuncak berlangsung pada 7 Mac ini.

“Anugerah Lagu Indie bukan anugerah berdasarkan populariti, sebaliknya elemen indie dan kualiti sesebuah lagu itu sendiri yang menjadi kriteria utama dalam komponen penilaian juri. Anugerah ini sangat penting dalam menambah variasi kepada lagu-lagu yang popular sekarang ini menerusi media mainstream,” katanya.

Selain Ahmed Faris yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Rakita 107.9, penerbit bersama anugerah itu ialah Loy Ekzan, pengamal media, penggiat komuniti indie dan antara tulang belakang XFM yang terkenal sebagai platform muzik indie Malaysia
sehingga tahun 2012; dan Jennifer Thompson, mentor industri indie dan juga bekas produser Anugerah Bintang Popular selama 9 tahun dan Anugerah Industri Muzik selama 15 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button