200 usahawan, 100,000 pengunjung dijangka meriahkan Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025
KUALA LUMPUR – Lebih 200 usahawan pelbagai segmen termasuk gaya hidup, hiburan dan makanan bakal berhimpun pada Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 16 September ini di Parkir Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Menurut Penganjur dan Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal, festival bersempena sambutan Hari Malaysia itu dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran.
Katanya, sasaran tersebut diyakini mampu dicapai dengan mengambil kira cuti panjang sempena tarikh bersejarah pembentukan Malaysia.
“Setiap lot niaga disasarkan menjana jualan antara RM5,000 hingga RM10,000. Sambutan amat menggalakkan dengan lebih separuh daripada jumlah keseluruhan lot telah ditempah dan kami yakin semua slot akan habis sebelum karnival bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 di MiCasa All Suites Hotel, Kuala Lumpur kelmarin.
Festival tersebut diadakan bersempena Hari Malaysia yang disambut pada setiap 16 September, tarikh penyatuan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963.
Selain itu, acara berkenaan bukan sekadar mengingatkan kepada kepentingan semangat perpaduan, tetapi juga menzahirkan kekuatan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama.
Antara tarikan utama ialah Fun Run Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta 2025 pada 16 September yang dijangka disertai lebih 1,000 peserta, selain persembahan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Konsert Ambang Hari Malaysia turut diadakan dengan penampilan artis popular seperti Aina Abdul, Khai Bahar, Hazama, Amylea Adnan, ALPHA Big Stage dan juara Raising The Star, Didie Shazry.
Selain hiburan, pelbagai pengisian lain turut disediakan termasuk ceramah motivasi, rakaman podcast, persembahan budaya dan program interaktif untuk semua lapisan masyarakat.
Penganjur turut menghargai sumbangan rakan strategik dan penaja antaranya Anytime Fitness Hampshire, Funnel Evo, SimplySiti, serta penaja rasmi MiCasa All Suites Hotel Kuala Lumpur, Walls dan Unifi Business.
“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk festival-festival akan datang demi memperkukuh ekosistem usahawan, hiburan dan komuniti,” tambah Rayme.
Menurut beliau lagi, festival ini bukan sekadar pesta makanan dan hiburan, sebaliknya platform memperkasa usahawan tempatan serta mengetengahkan keunikan budaya Malaysia.
“Kami mahu menjadikan festival ini sebagai ruang komuniti untuk merapatkan hubungan antara peniaga, pengunjung dan masyarakat umum, selari dengan semangat sambutan Hari Malaysia,” jelas beliau.
Festival ini dianjurkan dengan tema Budaya, Makanan, Perpaduan & Usahawan dan dilihat sebagai simbol penyatuan rakyat, usahawan serta budaya dalam satu platform berskala nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








