
Anak suspek kes bunuh dalam jagaan sementara JKM
ALOR SETAR – Anak kepada suspek yang disyaki membunuh isteri dan dua anaknya akan ditempatkan di lokasi selamat untuk jagaan sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah.
Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, kanak-kanak lelaki etnik Rohignya warga Myanmar berusia lima tahun itu sudah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) petang semalam, untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Jelasnya, mangsa masih berada dalam keadaan trauma, namun masih boleh bersembang dengan pegawai JKM.
“Nampak tadi, kita bagi barang mainan padanya dan dia mahu bermain, malah apabila kita tanya apa pun dia mahu jawab.
“Dia beritahu, bapa dia (suspek) sangat sayang pada dia, mungkin sebab itu kot dia tidak diapa-apakan pada hari kejadian,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JKM Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.
Beliau turut memberitahu, terdapat kesan luka lama di bawah pipi mangsa, tetapi itu perkara biasa dan mungkin disebabkan dia tidak mendengar kata atau sebaliknya kerana masih kanak-kanak.
“Dia seperti berada dalam dunia dia sendiri dan tidak seperti kanak-kanak tempatan di kampung yang akan murung jika mengalami nasib seperti ini.
“Namun, JKM bersedia untuk memberi khidmat kaunseling kepadanya supaya dia dapat melupakan apa yang berlaku,” katanya.
Halimaton Shaadiah berkata, JKM mengalu-alukan komuniti warga Myanmar sekiranya hendak mengambil kanak-kanak ini kerana pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) tidak boleh dijadikan anak angkat kerana mereka bukan warganegara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






