
Anak mekanik raih 11A SPM, terima bantuan Perdana Menteri
KUANTAN – “Kemiskinan bukan penghalang untuk bermimpi besar.” Itu kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi selepas menziarahi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Nur Hartini Hidayah dari Kampung Sungai Karang Darat di sini.
Menurut Farhan, Hartini yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM merupakan anak kepada seorang mekanik bengkel manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
“Walaupun berasal daripada keluarga yang serba kekurangan, Hartini berjaya membuktikan bahawa latar belakang bukan alasan untuk tidak mencipta kejayaan.
“Beliau bukan sahaja ditawarkan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), malah turut terpilih untuk sesi temu duga Program YTP MARA – A-Level Australia sebagai persediaan ke bidang perubatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada semalam.
Beliau berkata, kejayaan pelajar itu tidak menghalang timbulnya kebimbangan berkaitan kekangan kewangan yang boleh menggugat cita-citanya melangkah ke menara gading.
Sehubungan itu, beliau tampil menyampaikan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dorongan kepada Hartini.
“Saya juga turut menyumbangkan sebuah komputer riba bagi membantu persediaan Hartini ke alam universiti,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Farhan turut memaklumkan telah menghubungi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung perkara itu.
“Alhamdulillah, beliau menyatakan komitmen untuk meneliti dan membantu merealisasikan impian anak muda dari Sungai Karang Darat itu.
“Kerajaan MADANI sentiasa komited memastikan setiap anak, tanpa mengira latar belakang, diberikan ruang dan peluang untuk berjaya,” katanya lagi.
Farhan turut mendoakan kejayaan Hartini serta berharap kisah pelajar tersebut menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |