BERITA SEMASAHIBURAN

Amir UK’s kecewa hasrat tunai haji tidak kesampaian, dakwa jadi mangsa penipuan

SEPANG – Penyanyi veteran, Amir UK’s meluahkan rasa kecewa dan sedih selepas hasratnya untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri tidak tercapai dipercayai akibat menjadi mangsa penipuan.

Amir, 56, atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof berkata, beliau antara 82 individu yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci menerusi satu tawaran tajaan penuh oleh seorang hartawan yang tidak dikenalinya.

Tawaran itu dimaklumkan oleh rakan sekerja isterinya pada April lalu.

“Walaupun semua kos ditanggung sepenuhnya, namun saya tetap berasa sedih dan kecewa kerana perancangan menunaikan ibadah haji lebur begitu saja apabila ‘tawaran’ diberikan tiada sehingga kini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA semalam.

Amir berkata, mereka diminta menyertai satu kumpulan WhatsApp dinamakan Tetamu Allah Haji Akbar 2025 dan diberitahu bahawa semua urusan visa dan penerbangan diuruskan pihak tertentu, termasuk sebuah agensi pelancongan terkenal.

Menurutnya, mereka turut menghadiri kursus haji, menerima surat tawaran berlogo agensi tersebut dan membayar sendiri kos persediaan hampir RM4,000.

Namun, sewaktu berada di KLIA untuk berlepas pada 1 Jun lalu, mereka dimaklumkan penerbangan dibatalkan.

Walaupun dijanjikan penerbangan lain pada keesokan harinya, individu yang sepatutnya menyerahkan visa dan pasport tidak muncul.

“Saya percaya tawaran itu kerana ada surat rasmi daripada agensi. Sebagai orang yang ditaja, saya yakin dengan urusan yang dibuat pihak berkenaan sebab semua itu dikatakan percuma,” katanya.

Sehubungan itu, Amir telah membuat laporan polis dan pasport mereka dimaklumkan boleh diambil semula di sebuah rumah di Setia Alam, Selangor.

Beliau berharap kejadian itu menjadi iktibar kepada orang ramai agar lebih berhati-hati menerima sebarang tawaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima tujuh laporan berkaitan kes itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button