
Amerika Syarikat bantah waran tangkap Netanyahu oleh ICC
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menyifatkan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel dan bekas menteri pertahanannya sebagai terlalu tergesa-gesa.
Jurucakap Majlis Keselamatan AS berkata, AS menolak keputusan ICC untuk menangkap Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.
“Tindakan ini kami rasakan terlalu terburu-buru. Kami secara asasnya menolak keputusan ICC untuk mengeluakan waran tangkap kerana mungkin wujud kesilapan yang dilakukan pendakwa raya yang membawa kepada keputusan ini,” katanya seperti dilaporkan media antarabangsa.
Jurucakap itu turut menegaskan, ICC tidak mempunyai bidang kuasa ke atas isu ini.
“Dalam penyelarasan bersama rakan kami, termasuk Israel, kami kini sedang membincangkan langkah seterusnya dan yakin ICC tidak ada kuasa dalam perkara ini ,” ujarnya.
Mahkamah berpusat di The Hague itu pada Khamis lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah perang dan kemanusiaan yang berlaku dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.
Pendakwa Raya ICC, Karim Khan, menyatakan terdapat bukti kukuh untuk mempercayai Netanyahu dan Gallant bertanggungjawab terhadap jenayah perang seperti menggunakan kelaparan sebagai taktik peperangan, serta jenayah kemanusiaan termasuk pembunuhan, penganiayaan, dan tindakan tidak berperikemanusiaan lain.
Keputusan tersebut turut menolak cabaran Israel terhadap bidang kuasa ICC di bawah Artikel 18 dan 19 Statut Rom.
Waran itu dikeluarkan ketika serangan berterusan Israel di Gaza kini memasuki tahun kedua, dengan angka korban mencecah kira-kira 44,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |