
‘Ambil tindakan terhadap tauke judi, bukan serbu sahaja’
CYBERJAYA – Tiga tahun dahulu, pendedahannya mengenai kewujudan pusat judi di Sungai Buloh menyebabkan ratusan premis judi diserbu pihak polis, kini Asri Hamid muncul kembali bagi menggesa para ‘tauke’ berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.
Asri,45, dalam temubualnya bersama portal FMT mendakwa, sejak pendedahannya tiga tahun lalu, tindakan penguatkuasaan seperti serbuan banyak dilaksanakan, tetapi tetapi tiada satu pun tuduhan dibawa terhadap dalangnya.
“Kita lihat bekalan elektrik premis terbabit dipotong sebelum ditutup sementara, tetapi ‘tauke’ belum ditahan atau didakwa,” kata Asri dalam temubual tersebut.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amaran Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada ketua polis daerah bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka gagal bertindak terhadap aktiviti perjudian di kawasan masing-masing.
Isnin lalu, Ayob mendedahkan terdapat segelintir ketua polis berasa ‘tidak senang’ apabila pasukan petugas dari Bukit Aman dikerah melaksanakan operasi terhadap premis perjudian di daerah mereka.
Asri turut menggesa Ayob memperjelaskan jenis tindakan yang akan diambil terhadap ketua polis daerah yang tidak melaksanakan tugas mereka.
Sambil memuji pendirian tegas Ayob, Asri berkata, rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap bekas ketua polis Johor itu dan tiba masanya beliau menunjukkan dirinya sebagai ‘jeneral perang’.
Pada masa sama, Asri mencadangkan polis mewujudkan aplikasi mudah alih khas untuk membolehkan orang awam melaporkan aktiviti perjudian tanpa lesen.
Pada 2020, Asri mendedahkan beberapa premis perjudian tanpa lesen di Sungai Buloh menerusi beberapa siri video.
Susulan pendedahan itu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjemputnya bagi membincangkan isu berkenaan.
Katanya, keputusan mendedahkan premis perjudian itu selepas pihak berkuasa tempatan merampas gerai burger diusahakannya, tetapi tidak bertindak terhadap aktiviti haram di kawasan beliau berniaga.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |