
Ambil tanah kubur untuk berkat bertentangan akidah – Menteri Agama
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan perbuatan mengambil tanah dari pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman untuk tujuan mendapat keberkatan sebagai satu tindakan yang bertentangan dengan akidah Islam.
Beliau berkata, tindakan seperti itu bukan sahaja tidak berasas dalam syariat, malah boleh membawa kepada perbuatan khurafat dan syirik.
“Perbuatan mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah dengan keyakinan ia membawa berkat atau kuasa tertentu boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Na’im membuat kenyataan itu berikutan laporan media tempatan yang mendedahkan kubur Nurly Shahirah bukan sahaja dibanjiri orang ramai bahkan ada yang bertindak mengambil tanah di kawasan pusara itu untuk tujuan tertentu.
Justeru, beliau menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan sedemikian dan menyifatkannya sebagai mencemar kehormatan kawasan perkuburan.
Menurut beliau, Islam mengajar umatnya agar menjaga adab terhadap jenazah dan menghormati tanah perkuburan, bukannya menjadikan kawasan itu sebagai tempat mencari populariti mahupun kelebihan ghaib.
“Tanah kubur bukan tempat mencari keberkatan. Kita digalakkan menziarahi kubur untuk mengingati kematian, menambah keinsafan dan mendoakan kesejahteraan roh si mati dan bukan untuk tujuan khurafat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan keluarga Allahyarhamah yang tegas dan berhemah dalam menangani isu ini serta usaha pihak berkuasa agama yang memantau kawasan perkuburan bagi mengelakkan perbuatan seumpama itu berulang.
Katanya, usaha tersebut seiring dengan komitmen kerajaan membanteras amalan khurafat dan memperkukuh kefahaman akidah dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam ajaran Islam,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |