
Ambil peluang perbaiki status pematuhan cukai menerusi PKPS 2.0 – LHDN
Akan tamat pada 31 Mei 2024
CYBERJAYA – Orang ramai diseru mengambil peluang memperbaiki status pematuhan cukai melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang akan berakhir pada 31 Mei 2024.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, setakat 31 Januari 2024, pihaknya telah menerima sebanyak 64,748 kes pengakuan sukarela daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada.
“PKPS 2.0 yang bermula pada 6 Jun 2023, merupakan inisiatif LHDN untuk memberi peluang kepada pembayar cukai untuk tampil secara sukarela melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan.
“Untuk makluman, LHDN memberi jaminan bahawa segala pelaporan yang diterima di bawah PKPS 2.0 akan diterima secara suci hati dengan sifar penalti,” kata LHDN dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Kenyataan turut menyebut, selepas tempoh ini, LHDN akan melaksanakan aktiviti pematuhan cukai mengikut Rangka Kerja Audit Cukai yang berkuat kuasa.
Bagaimanapun, tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan pada masa akan datang bagi tahun-tahun taksiran yang terlibat dengan PKPS 2.0.
“Untuk makluman, PKPS 2.0 ini dibuka kepada semua kategori pembayar cukai kecuali bagi kategori fail majikan melibatkan pelaporan pendapatan yang tidak pernah dilaporkan atau kurang dilaporkan, perbelanjaan atau tuntutan lain yang terlebih tuntut atau tidak dibenarkan, pelepasan atau potongan atau rebat terlebih tuntut dan elaun modal atau insentif yang terlebih tuntut.
“PKPS 2.0 ini juga boleh disertai oleh mereka yang ingin melaporkan pelupusan aset dan ingin membuat penyeteman dokumen atau perjanjian yang tidak disetem dalam tempoh yang dibenarkan,” kata kenyataan itu lagi.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan serta maklum balas mengenai PKPS 2.0 boleh menghubungi LHDN menerusi Contact Centre di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); LHDN Live Chat; dan juga menerusi Borang Maklum Balas di Portal Rasmi LHDN.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |