
Kes amang seksual: Peguam Naim Daniel nasihat orang ramai elak buat spekulasi
PUTRAJAYA – Pihak pembelaan kepada penyanyi, Naim Daniel menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes amang seksual yang sedang dihadapi anak guamnya.
Peguam, Mohd. Irwan Sumadi yang mewakili Naim Daniel, berkata beliau yakin sistem kehakiman sedia ada mampu menyediakan ruang keadilan untuk semua pihak.
“Kami menyeru kepada semua jangan membuat andaian atau spekulasi. Biarkan pihak mahkamah menjalankan tugas dan keadilan akan terlaksana,” kata peguam itu.
Baca juga : Naim Daniel mengaku tidak bersalah
Terdahulu, Naim Daniel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.
Bagaimanapun Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin M.Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, penyanyi lagu Sumpah itu didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya, Selangor pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dam tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 18 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Pada 3 Jun lalu, selebriti itu ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor. Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya.
Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataanya berkata, arahan tuduh ke atas suspek telah diperolehi daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |