BERITA SEMASASUKAN

Amad Diallo tidak menyesal tunjuk isyarat lucah, dakwa dihina peminat

KUALA LUMPUR – Pemain Manchester United, Amad Diallo menegaskan bahawa beliau tidak menyesal menunjukkan isyarat lucah kepada sekumpulan peminat selepas mendakwa dihina secara peribadi ketika berada di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Insiden itu berlaku selepas kekalahan 0-1 Manchester United kepada Asean All-Stars dalam aksi persahabatan Rabu lalu apabila tular rakaman video di media sosial menunjukkan Amad mengangkat jari tengah ke arah peminat di luar hotel pasukan.

“Saya hormat orang lain tetapi bukan kepada mereka yang menghina ibu saya,” tulis pemain berusia 22 tahun itu di media sosial.

“Saya sepatutnya tidak bertindak balas begitu tetapi saya tidak menyesal dengan apa yang saya lakukan. Kami menikmati masa yang baik di Malaysia bersama orang-orang yang baik,” tambahnya lagi.

Manchester United dalam kenyataan kepada BBC memaklumkan bahawa tindakan Amad adalah tindak balas terhadap penghinaan peribadi yang serius diterima pemain kelahiran Ivory Coast itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pengendali Manchester United, Ruben Amorim berharap insiden itu tidak menjejaskan tumpuan pasukan yang kini dalam siri jelajah pramusim Asia selepas menamatkan kempen liga di tangga ke-15 dan tewas di final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur.

“Kami melalui musim yang sukar dan bukan mudah untuk berdepan dengan peminat di seluruh dunia. Ini masa yang sukar buat kami dan kami mahu menamatkan musim ini dengan baik,” katanya dalam sidang media menjelang aksi menentang pasukan Hong Kong.

Menurut Amorim, meskipun terpaksa mengharungi jadual padat dan cuaca tidak menentu, pasukan tetap komited memberikan yang terbaik buat penyokong.

“Jika ada satu perkara yang penting di kelab ini, ia adalah keperluan untuk berdepan dengan peminat dalam saat seperti ini dan memberikan sesuatu kepada mereka di seluruh dunia.

“Kami hanya mahu mulakan lembaran baharu dan memperbaiki prestasi musim depan,” katanya.

Dengan hujan lebat membasahi Stadium Hong Kong yang berkapasiti 40,000 malam sebelum perlawanan, Amorim dijangka akan merombak barisan kesebelasan bagi menjaga kecergasan pemain.

“Jika kami profesional dan fokus kepada permainan, itu cara terbaik untuk melindungi pemain daripada kecederaan,” jelas jurulatih berusia 40 tahun itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button