
Alumni MyCorps digalak sertai perkhidmatan awam
PUTRAJAYA – Alumni Program Kepimpinan Sukarelawan Belia Malaysia (MyCorps) digalakkan menyertai sektor perkhidmatan awam berikutan komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang misi sukarelawan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peserta MyCorps memiliki etika kerja yang tinggi dan keikhlasan dalam berkhidmat, dua ciri penting yang diperlukan dalam sektor awam untuk memberi impak positif kepada negara.

“Saya berharap lebih ramai alumni MyCorps memilih untuk berkhidmat dalam sektor awam.
“Tadi, seorang sukarelawan menyebut bahawa tempoh satu bulan dalam misi tidak mencukupi.
“Hakikatnya, walaupun setahun pun tidak cukup kerana masih banyak yang perlu dilakukan.

“Bayangkan jika sukarelawan ini menjadi guru atau jurutera di Jabatan Kerja Raya – saya percaya kita akan memiliki semangat yang betul dalam perkhidmatan awam.
“Bukan kerana dipaksa, tetapi kerana mereka benar-benar mahu berkhidmat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian MyCorps Mission 9@Borneo 2.0 di sini, semalam.
Hannah turut berkata, kementerian bercadang menambah kekerapan program MyCorps kepada empat kali setahun berbanding sekali sahaja sebelum ini, susulan permintaan tinggi daripada golongan belia.
“Saya percaya kita boleh memperkasakan program ini dan melahirkan lebih ramai belia yang memahami cabaran masyarakat.
“Oleh itu, kementerian mengalu-alukan tajaan daripada mana-mana pihak yang berminat untuk menyokong program ini kerana kami komited dalam memperkasa belia,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |