BERITA SEMASA

Allahyarham banyak curah khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi kepada negara – Premier Sarawak

KUCHING – Pemergian bekas Perdana Menteri ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, Allahyarham telah banyak mencurahkan khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi kepada negara sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Saya, bagi pihak keluarga dan rakyat Sarawak, mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

“Saya dan Puan Sri Juma’ani ingin menyampaikan ucapan takziah kepada Tun dan seluruh ahli keluarga di atas kembalinya ke Rahmatullah Tun Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

“Saya berharap Tun sekeluarga diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini dan segala urusan dipermudahkan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ucapan takziah itu turut disampaikan menerusi sepucuk surat rasmi kepada balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, sebagai tanda penghormatan dan simpati atas kehilangan besar tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mewakili Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Istiadat Pengebumian Negara yang berlangsung di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hari ini sebagai tanda penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pukul 7.10 malam tadi dan akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas waktu Zohor hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button