BERITA SEMASADALAM NEGERI

Al-Ikhsan lancar kempen ‘For Everyday Athletes’

SHAH ALAM- Al-Ikhsan Sports, pengedar barangan sukan terbesar di Malaysia, memperkukuh kedudukannya sebagai jenama tempatan utama dalam industri dengan pelancaran kempen nasional terbaharu bertemakan ‘For Everyday Athletes’.

Kempen yang diperkenalkan secara rasmi bukan sekadar inisiatif pemasaran, sebaliknya merupakan langkah strategik Al-Ikhsan dalam memperluas jangkauan jenama melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan inklusif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Datuk Hishammudin Hasan, kempen tersebut selari dengan aspirasi syarikat untuk terus menjadi jenama yang dekat di hati rakyat, bukan hanya dari aspek produk, malah dalam misi sosial yang lebih besar.

“Di Al-Ikhsan, kami percaya setiap langkah membawa makna. Pergerakan bukan hanya soal kecergasan, tetapi soal kekuatan dalaman, ketahanan mental dan semangat untuk terus melangkah ke hadapan.

“Kempen ini mengangkat semangat dan menyatukan kita semua di bawah satu visi untuk hidup lebih sihat, lebih aktif dan lebih bermakna,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di Shah Alam.

Pelancaran ‘For Everyday Athletes’ turut menandakan satu lagi pencapaian penting syarikat tersebut dengan pembukaan kedai konsep baharu di Elmina Lakeside Mall.

Cawangan Elmina menjadi yang pertama dalam pelaksanaan konsep kedai generasi baharu, yang bakal diperluas ke beberapa lokasi lain termasuk AEON Shah Alam, Ipoh Parade dan Mayang Mall.

Kempen itu turut memperkenalkan rangkaian inisiatif sokongan yang akan dilaksanakan secara berperingkat, termasuk pelancaran program keahlian eksklusif pada Jun 2025.

Program itu direka untuk memberi ganjaran kepada pelanggan yang mengamalkan gaya hidup aktif serta menyediakan peluang untuk terlibat dalam program komuniti yang dirangka khusus untuk menggalakkan penglibatan rakyat dalam aktiviti kecergasan.

Dengan lebih 187 cawangan fizikal di seluruh Semenanjung Malaysia serta tiga platform digital yang aktif, Al-Ikhsan kini berdiri sebagai jenama tempatan yang bukan sahaja mempunyai kehadiran pasaran yang kukuh, tetapi juga menyumbang secara aktif kepada pembangunan sukan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1993.

Kempen yang membawa mesej inklusif bahawa setiap individu adalah atlet dalam kapasiti mereka sendiri, menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai pergerakan nasional yang meraikan kekuatan dalam langkah harian tidak kira sekecil mana sekalipun.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan kempen melalui laman web rasmi di www.al-ikhsan.com dan saluran media sosial rasmi @alikhsansports dengan menggunakan tanda pagar #4EverydayAthletes dan #alikhsanSPORTS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button