AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Akta Perkongsian Data 2025 berkuat kuasa hari ini, tingkatkan perkhidmatan kerajaan, lindungi data peribadi

PUTRAJAYA – Malaysia melakar sejarah baharu apabila Akta Perkongsian Data 2025 secara rasmi berkuat kuasa hari ini, bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan serta melindungi data peribadi rakyat.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, akta itu menyediakan rangka kerja undang-undang yang teratur bagi perkongsian data secara selamat dan cekap antara kementerian serta agensi kerajaan persekutuan.

“Akta ini menetapkan proses permohonan data oleh agensi persekutuan dan bagaimana permintaan tersebut akan diproses.

“Ia memperkenalkan penilaian ketat oleh Jawatankuasa Perkongsian Data Kebangsaan mengikut kriteria yang ditetapkan sebelum sesuatu data dibenarkan untuk dikongsi.

“Langkah ini memupuk akauntabiliti dan pada masa sama memastikan keselamatan data peribadi terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan akta itu membolehkan jabatan kerajaan mengakses data secara masa nyata, sekali gus mempercepatkan proses membuat keputusan dan meningkatkan koordinasi perkhidmatan awam.

Beliau berkata, perkongsian serta analisis data adalah komponen penting dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya bagi aplikasi dalam sektor kesihatan, pertanian dan perancangan bandar, bagi menghasilkan penyelesaian inovatif serta realistik.

“Melalui akta ini dan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), aspirasi Kerajaan MADANI untuk membangunkan sebuah negara AI akan dapat dipercepatkan,” katanya lagi.

Gobind turut menyeru semua kerajaan negeri memperkenalkan undang-undang serupa bagi memudahkan perkongsian data antara kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan demi manfaat seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak kementerian sedang berusaha melibatkan pemain industri bagi mencari mekanisme yang membolehkan perkongsian data antara kerajaan dan sektor industri pada masa hadapan.

“Usaha ini penting untuk memperkasa penggunaan teknologi, tadbir urus berasaskan data serta penyelesaian teknologi masa depan, bagi memastikan negara kita dapat mengoptimumkan manfaat teknologi untuk rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button