
Akta Laut Wilayah 2012 tidak terpakai di Sabah -Peguam Besar Sabah
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian bahawa Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) tidak boleh dikuatkuasakan ke atas negeri itu dan isu itu juga tidak akan dirunding di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, isu berkaitan pelantar benua juga kekal dalam wilayah Sabah seperti yang telah diisytiharkan dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.
Beliau menjelaskan bahawa tuntutan ini telah direkodkan secara rasmi sebagai perkara yang ‘tidak boleh dirunding’ dalam mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 12 September lalu.
“Walaupun terdapat kemajuan yang ketara dalam mesyuarat tersebut termasuk berkaitan hak dan tuntutan lain oleh negeri, isu TSA 2012 dan pelantar benua masih kekal dalam kategori ‘setuju untuk tidak bersetuju’,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut memberi jaminan bahawa isu itu akan terus dibincangkan di peringkat tertinggi antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
“Jabatan Peguam Besar Sabah komited mempertahankan pendirian kerajaan negeri secara berterusan dalam perkara ini,” katanya lagi.
Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang menolak permohonan Jabatan Peguam Besar Sabah untuk bertindak sebagai ‘amicus curiae’ (sahabat mahkamah) dalam kes tuntutan laut wilayah pihaknya menghormati keputusan itu.
“Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) turut menyatakan sokongan kepada jabatan ini untuk memberikan bantuan dalam kes tersebut, tetapi Peguam Negara Persekutuan membantah perkara berkenaan.
“Bagaimanapun, keputusan akhir terletak pada mahkamah untuk menentukan sama ada bantuan kami diperlukan atau tidak, dan dalam kes ini mahkamah telah memutuskan sebaliknya,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Jabatan Peguam Besar Sabah akan terus menawarkan sokongan dan pandangan perundangan rasmi negeri, terutamanya dalam isu yang melibatkan kepentingan awam.
“Jabatan kami akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti. Kerajaan Negeri juga masih mempunyai pilihan untuk melibatkan diri secara rasmi dalam prosiding undang-undang jika perlu,” jelasnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |