Akta kawalan produk rokok dikuatkuasa hari ini
KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula hari ini, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.
Menurut KKM, Akta 852 yang melibatkan beberapa aspek penguatkuasaan secara serta-merta dan berperingkat itu merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.
Undang-undang itu juga termasuk larangan penjualan produk merokok kepada mereka yang lahir selepas 2007 bagi mengurangkan akses kepada produk tersebut.
“Peruntukan lain termasuk larangan pengiklanan, promosi, dan tajaan produk merokok, serta larangan penjualan di institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri,” kata KKM.
Akta 852 yang diwartakan pada Februari lalu pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.
Akta 852 dijangka dikuatkuasakan dengan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk tersebut secara terbuka di premis perniagaan.
Akta itu juga menggariskan larangan penjualan rokok dan vape melalui dalam talian ke atas semua platform bagi mengelakkan ia dibeli oleh Orang Belum Dewasa (OBD) iaitu individu berusia di bawah 18 tahun.
Selain itu, produk rokok dan vape juga dilarang dijual melalui mesin vending dan tidak boleh dijual di kawasan institusi pendidikan atau institusi pengajian tinggi (IPT).
Produk rokok dan vape juga dilarang dijual di pasar jualan atau mana-mana pasar jualan bersifat sementara seperti Uptown, Downtown, pasar malam dan sebagainya.
KKM menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang memerlukan kerjasama dan persefahaman dari semua pihak, dan akan menerbitkan bahan pendidikan serta meneruskan sesi libat urus dengan pihak industri berkaitan pematuhan Akta 852.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pelaksanaan Akta 852 boleh diajukan di talian 03-8892 4552 atau melalui WhatsApp di talian 010-860 8949 pada Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








