
Akta Anti Ali Baba dijangka dibentang di Parlimen hujung tahun ini
KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka membentangkan penggubalan Akta Anti Ali Baba di Parlimen menjelang hujung tahun ini.
Menurut Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, kerajaan ketika ini sedang melaksanakan kajian bagi merangka akta baharu itu bagi membolehkan penguatkuasaan perundangan rent-seeking sekaligis membendung kegiatan Ali Baba daripada terus berleluasa.
“Tujuan utama kajian dilaksanakan adalah mengenal pasti masalah, cabaran dan halangan yang berkaitan dengan rent-seeking termasuk aspek undang-undang, penguatkuasaan serta kesannya terhadap ekonomi dan masyarakat.
“Kajian ini bertujuan memahami dengan lebih jelas isu Ali Baba dalam pelbagai sektor, supaya tindakan undang-undang yang lebih berkesan dapat dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Rafizi menjawab demikian kepada pertanyaan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai status penggubalan Akta Anti Ali Baba bagi menangani isu penguasaan warga asing dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin berleluasa.
Tambahnya, antara langkah yang sedang dibuat termasuk penggubalan dasar, strategi, dan inisiatif baharu yang lebih menyeluruh untuk mengatasi amalan rent-seeking di negara ini.
“Ini termasuk mencadangkan penggubalan undang-undang baharu seperti Akta Anti Rent-Seeking atau melakukan pindaan terhadap akta sedia ada,” katanya lagi.
Memetik laporan sebelum ini, Rafizi berkata, Akta Anti Rent-Seeking dicadangkan kerana undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Akta Persaingan 2010, Akta Syarikat 2016 serta undang-undang kecil belum ada undang-undang yang dapat membendung kegiatan Ali Baba secara menyeluruh dan berkesan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |