BERITA SEMASA

AKPS simbol komitmen kerajaan wujudkan rangka kerja kawalan sempadan yang lebih lancar, cekap

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dilancarkan hari ini berperanan sebagai agensi tunggal yang menyelaras operasi di semua pintu masuk negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, AKPS menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan, dan langkah ini menandakan komitmen kerajaan MADANI dalam mewujudkan rangka kerja kawalan sempadan yang lebih lancar dan cekap.

“Era globalisasi yang sedang berada di hadapan kita pada hari ini menuntut semua pihak untuk bersedia dengan keperluan sistem pengurusan sempadan lebih mantap dan bersepadu.

“Pelbagai usaha serta inisiatif telah dirintis oleh kerajaan dalam usaha memastikan Malaysia kekal sebagai negara perdagangan berdaya saing dengan penyampaian perkhidmatan di pintu-pintu masuk negara yang cekap dan berintegriti,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran AKPS, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hashim.

Fadillah turut berkata, penubuhan AKPS ditunjangi oleh lima objektif utama iaitu menyatukan pelbagai fungsi penguatkuasaan sempadan di bawah satu chain of command, memudahkan aktiviti perdagangan dan perjalanan, memperkukuh aspek keselamatan, mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan serta perlindungan dan keselamatan sempadan negara meliputi udara, laut dan darat melalui kerjasama bersepadu agensi terlibat.

AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Okt 2024, dan diterajui oleh Datuk Seri Hazani Ghazali sebagai Ketua Pengarahnya yang pertama.

AKPS terdiri daripada anggota yang diserap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Penubuhannya dimuktamadkan selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Oktober 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button