
Akaun 3 KWSP bermula hari ini
PETALING JAYA – Pelaksanaan penstrukturan semula akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun melibatkan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 bermula hari ini.
Menurut laman sesawang KWSP, simpanan dalam Akaun Fleksibel atau Akaun 3 boleh dikeluarkan oleh ahli KWSP pada bila-bila masa mengikut keperluan tertakluk kepada terma dan syarat.
“Caruman baharu yang diterima selepas tarikh kuat kuasa hari ini akan dikreditkan ke dalam akaun mengikut nisbah 75:15:10 iaitu Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).
“Pada masa ini, penstrukturan semula akaun KWSP tidak mengubah polisi semasa penentuan kadar dividen. Kadar dividen yang sama akan terpakai ke atas ketiga-tiga akaun,” katanya lagi.
Jelas KWSP, penentuan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan pilihan amaun permulaan.
“Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel melalui KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal (SST) di mana-mana pejabat KWSP.
“Pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024. Pilihan ini hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut dan tidak boleh dibatalkan,” katanya lagi.
KWSP turut berkata, sekiranya ahli tidak memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan, baki sedia ada dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera akan kekal.
“Manakala, caruman baharu mulai 11 Mei 2024 akan dikreditkan ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Pilihan pindahan amaun permulaan akan diluluskan dalam tempoh tiga hingga lima hari bekerja,” kata lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |