BERITA SEMASA

Ajaran SiHulk akan terus dipantau pihak berkuasa – Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah untuk bekerjasama rapat dengan polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membanteras ajaran sesat SiHulk yang dikesan bertapak di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan ajaran sesat itu segera tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa JAIN, pihak JAKIM telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan.

“Sehubungan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihati supaya umat Islam tidak terlibat dan menjauhi daripada penyebaran ajaran sesat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penyebaran ajaran sesat SiHulk dipercayai bertapak di Melaka dikesan beberapa bulan lalu diketuai oleh Suhaini Mohammad (Sohai Ibu Muhammad) atau SiHulk.

Beberapa hari lalu pula, tular beberapa video yang memaparkan sekumpulan pengikut ajaran itu yang mendakwa Rasulullah sebagai Allah.

Sementara itu Dr. Mohd Na’im berkata, mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam seperti penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

“Pihak Jakim telah diarah untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan bagi mengadakan siri penerangan di seluruh negara berkaitan bahaya amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan akidah kepada masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button