BERITA SEMASA

AirAsia lancar laluan terus ke Palembang dan Semarang, 188 penerbangan seminggu antara Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR – AirAsia Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penghubung utama antara Malaysia dan Indonesia apabila melancarkan dua laluan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Palembang dan Semarang.

Dengan pelancaran itu, AirAsia kini mengendalikan sebanyak 188 penerbangan mingguan antara kedua-dua negara, sekali gus menjadikan syarikat penerbangan tambang rendah itu sebagai pengendali terbesar laluan Malaysia-Indonesia.

AirAsia lancar laluan terus ke Palembang dan Semarang, 188 penerbangan seminggu antara Malaysia-Indonesia
AirAsia lancar laluan terus ke Palembang dan Semarang, 188 penerbangan seminggu antara Malaysia-Indonesia

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Azizan Mazputra berkata, pembukaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II (Palembang) dan Lapangan Terbang Jenderal Ahmad Yani (Semarang) kepada penerbangan antarabangsa memberi peluang kepada AirAsia untuk menjadi penerbangan antarabangsa pertama yang kembali ke dua bandar utama Indonesia itu.

“Pelancaran ini mencerminkan usaha berterusan kami untuk memperluas capaian ke bandar-bandar yang kurang dilayani, terutamanya destinasi kedua dan ketiga di Indonesia yang kaya dengan budaya, warisan dan potensi pelancongan.

“Kami amat berbesar hati menjadi antara yang pertama menyambung semula penerbangan antarabangsa ke Palembang dan Semarang, sekali gus membuka peluang baharu kepada rakyat kedua-dua negara untuk saling berkunjung dengan lebih mudah dan mampu milik,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Tambahnya, laluan baharu ini selari dengan usaha kerajaan Indonesia untuk mencapai sasaran ketibaan 16 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini, di mana Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran utama bagi pelancongan ke republik itu.

Dalam masa sama, AirAsia turut menawarkan tambang promosi sempena pembukaan laluan tersebut dengan harga serendah RM159 sehala dari Kuala Lumpur ke Palembang dan RM199 sehala ke Semarang, bagi tempoh perjalanan bermula Julai dan September 2025.

Kedua-dua bandar itu merupakan antara destinasi yang mempunyai nilai sejarah dan budaya yang tinggi.

Palembang pernah menjadi pusat empayar Srivijaya yang berpengaruh di Asia Tenggara, manakala Semarang terkenal sebagai antara bandar paling bersih di ASEAN dengan keunikan seni bina dan budaya Jawa-Cina.

Setakat ini, AirAsia Malaysia terbang ke 15 destinasi di Indonesia termasuk Jakarta, Bali, Medan, Yogyakarta, Makassar dan Lombok.

Langkah terbaharu itu dilihat mampu menyokong inisiatif pelancongan rentas sempadan serta memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, selain memberi manfaat kepada sektor ekonomi dan pelancongan kedua-dua negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button