BERITA SEMASA

Ainol Amriz dilantik CEO MPI yang baharu

CYBERJAYA – Penolong Pengarang UtusanTV, Ainol Amriz Ismail dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Press Institute (MPI) baharu berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, pelantikan Ainol Amriz itu dipersetujui Ahli Majlis Pentadbir MPI setelah proses temuduga di mana pertimbangan berdasarkan kepada pengalaman dan kepakaran beliau dalam media, komunikasi dan tenaga pengajar industri.

Beliau berkata, pelantikan Ainol Amriz adalah bagi menggantikan Datuk Mustapa Omar yang akan menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 30 September ini untuk memberi tumpuan dalam bidang yang lain.

“MPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mustapa di atas khidmat yang cemerlang,
khusus dalam mentransformasi MPI ke arah lebih dinamik dan telus.

“Apabila beliau mengambil alih peranan CEO Ogos tahun lalu, Pak Mus berharap akan dapat memberi impak yang ketara dalam masa yang singkat. Dalam hal ini, Pak Mus sangat berjaya dalam hasratnya untuk membawa MPI kepada lembaran baru.

“Kami menghormati keputusan Pak Mus untuk melepaskan jawatan sejak Mac lalu selepas mencapai
sasarannya dan memohon beliau menangguhkannya sehingga kami mendapat calon sesuai untuk
dipanggil temuduga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pelantikan Ainol Amriz juga berdasarkan pendekatannya yang segar dan pengetahuannya yang mendalam dalam bidang kewartawanan baharu, terutamanya dalam media sosial untuk membolehkan MPI kekal relevan sebagai penyedia latihan terunggul dalam landskap media yang sentiasa berubah.

Ainol Amriz berkelulusan Sarjana Sains Sosial (Pengurusan Komunikasi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM).

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan, media dan komunikasi, pernah
berkhidmat di Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) sebagai Pengurus Jabatan Pengarang dan Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn Bhd, anak syarikat UMMB, iaitu syarikat penyedia latihan.

Beliau juga adalah jurulatih berakreditasi (certified) dari Human Resources Development Corporation (HRD Corp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sejak tahun 2018 dan aktif mengajar di seluruh negara dalam skop media, komunikasi dan kandungan digital, selain merupakan salah seorang ahli panel bagi Kajian Semula Standard Program: Pengajian Media dan Komunikasi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2023-2025.

Ainol Amriz, yang pernah menjadi Ahli Majlis Pentadbir pada tahun 2016-2018, turut terlibat dalam pendidikan sebagai Pensyarah Sambilan pada beberapa semester di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu Ainol Amriz berkata, tumpuannya kini adalah merancakkan program latihan berdasarkan keperluan semasa selain merangsang minat penyertaan kepada Hadiah Kewartawanan Malaysia dalam kalangan pengamal media.

“Ini penting untuk menyaksikan MPI sebagai pentas latihan menyeluruh dengan fokus pemantapan bakat menjadikan ia relevan kepada semua pihak. Terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan MPI ini. Tentulah banyak cabarannya.

‘Dengan teras kepercayaan semua pihak meliputi pengamal media, pihak industri dan akademik kepada MPI, usaha berterusan dan komitmen yang tinggi dari pengurusan, kita yakin MPI terus berada di pentas cemerlang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button