Aiman tunggu keputusan mahkamah, belum pasti untuk rujuk Siti Jamumall
SHAH ALAM – Pempengaruh media sosial, Khairul Aiman Abdul Kudus, 26, memaklumkan beliau masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kes pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Siti Suriani Wahiddin, 26, yang turut dikenali sebagai Siti Jamumall.
Menurut Aiman, kelewatan beliau menfailkan tuntutan pengesahan lafaz cerai adalah disebabkan kekangan kewangan bagi melantik peguam, bukan kerana ingin melengahkan proses tersebut.
“Saya akui kelewatan berlaku kerana mengambil masa untuk mengumpul dana bagi melantik peguam.
“Soal rujuk atau tidak, kita serahkan kepada keadaan dan tunggu keputusan mahkamah nanti,” katanya menurut laporan Kosmo.
Terdahulu, Aiman dilaporkan telah melafazkan cerai sebanyak tiga kali terhadap Siti Suriani secara langsung menerusi siaran langsung di platform TikTok milik isterinya.
Lafaz tersebut kemudian menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, sesuatu tuntutan pengesahan lafaz cerai perlu difailkan dalam tempoh seminggu dari tarikh lafaz dibuat.
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes berkaitan lafaz cerai tersebut.
Mengulas lanjut, Aiman berkata, beliau tidak mahu memburukkan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi situasi rumah tangganya.
“Saya tak mahu panjangkan cerita atau memburukkan mana-mana pihak, fokus saya kini adalah menyelesaikan isu ini dengan baik,” katanya.
Tambahnya, dia tidak bertemu isterinya sejak seminggu lalu namun sempat berhubung secara ringkas beberapa hari kebelakangan ini atas urusan membawa Siti ke klinik.
“Sejak kejadian itu, saya tinggal berasingan dan teruskan kerja seperti biasa,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aiman turut memaklumkan bahawa ujian saringan air kencing yang dijalankan di klinik baru-baru ini mendapati dirinya bebas daripada sebarang penggunaan dadah.
“Saya lakukan ujian itu secara sukarela untuk mengelak tanggapan negatif masyarakat. Alhamdulillah, keputusan bagi lima jenis dadah adalah negatif,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan melafazkan cerai secara langsung itu mempunyai unsur gimik pemasaran, Aiman menyerahkan perkara itu kepada penilaian orang ramai.
“Ketika itu saya penat dan tekanan kerja menyebabkan saya hilang kawalan.
“Sama ada saya dijadikan sebagai bahan gimik atau tidak, lebih baik ditanya kepada Siti kerana dia yang memulakan siaran langsung tersebut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






