
Aidiladha: PM Anwar ajak rakyat luas erti pengorbanan, bantu saudara di Gaza
KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam untuk menghayati semangat pengorbanan dengan memperluaskan makna ibadah itu kepada usaha membantu saudara seagama yang sedang diuji, khususnya di Gaza.
Perdana Menteri berkata, Aidiladha bukan sahaja memperingati kisah agung Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s dalam menjunjung perintah Allah SWT, tetapi juga menjadi lambang solidariti sesama insan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, insan tersebut termasuk mereka yang sedang menanggung penderitaan akibat kezaliman dan penindasan.
“Kita tidak akan lepas dari ikhtiar membantu saudara kita berkorban mempertahankan kota dan wilayahnya, dan pada masa yang sama terus dicengkam penderitaan khususnya di Gaza dan saudara kita yang lain,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidiladha hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s bukan sekadar ibrah tentang ketaatan, tetapi juga sebuah warisan kenabian yang membawa pendekatan dakwah berasaskan dialog dan budaya ilmu.
Beliau menjelaskan, Nabi Ibrahim a.s bukan sekadar menyampaikan perintah secara monolog, tetapi memilih untuk berdialog, berhujah dan membina kesedaran dalam kalangan umat menerusi pendekatan hikmah dan kebijaksanaan.
“Ini adalah model dakwah yang segar, berorientasikan budaya wacana yang sihat, membentuk umat yang cerdas, berfikir dengan akal sihat dan berdisiplin,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan kesejahteraan seluruh umat Islam di Malaysia serta para jemaah haji yang kini berada di tanah suci, agar terus diberi kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan ibadah haji yang merupakan kemuncak pengorbanan rohani.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |