AI, tiga kluster transformasi digital jadi keutamaan Kementerian Digital
PUTRAJAYA – Kementerian Digital menetapkan tiga kluster utama sebagai tumpuan dalam agenda transformasi digital negara tahun ini.
Ia adalah melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan B40 serta Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).
Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo menegaskan bahawa pemerkasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi akan menjadi pemacu utama dalam memastikan Malaysia kekal kompetitif di peringkat serantau dan global.
Menurut beliau, kerajaan komited dalam menggalakkan penggunaan AI dalam kalangan PKS bagi meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.
Selain itu, pelaksanaan program digital bersasar untuk golongan B40 akan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada manfaat teknologi, sekali gus mengelakkan jurang digital yang ketara.

“Kita mahu memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus pendigitalan. Oleh itu, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) akan memainkan peranan penting dalam memacu integrasi AI dalam sektor awam dan ekonomi digital negara,” katanya dalam amanat Perhimpunan Bulanan Kementerian itu di sini, pagi ini.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh infrastruktur pusat data sebagai asas kepada ekosistem AI dan transformasi digital.
Perhimpunan yang berlangsung hari ini turut menjadi platform bagi warga kementerian memahami hala tuju strategik kerajaan dalam memperkasa ekonomi digital negara.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital), Ma. Sivanesan Marimuthu serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








