
Ahmad Zahid mohon maaf kekhilafan sewaktu berpidato
PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas kekhilafannya ketika berpidato pada Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Beliau berkata, kekhilafan dan kesilapan itu berpunca daripada dirinya sendiri.
“Saya hadir (malam tadi) bersama ribuan rakyat Malaysia bagi memberi dukungan dan tanda solidariti kita untuk pembebasan Palestin.
“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.
“Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Sebelum ini, tular beberapa video di media sosial yang menunjukkan Ahmad Zahid tersasul melaungkan ‘hidup Israel’ ketika berpidato.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, perhimpunan itu bukan sahaja isyarat rasa cinta terhadap keamanan, kedamaian dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman manusiawi, malah bagi memperingati pemimpin tertinggi Hamas, As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang dibunuh dengan kejam.
“Namun walau seorang Ismail Haniyeh gugur, ribuan mujahid lagi akan dilahirkan,” katanya lagi.
Himpunan Pembebasan Palestin semalam turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jemaah Kabinet, perwakilan asing dan lebih 10,000 rakyat Malaysia serta warga asing bagi menyatakan sokongan dan solidariti kepada perjuangan serta pembebasan Palestin daripada kekejaman rejim Israel.
Perhimpunan itu juga sebagai penegasan bahawa Malaysia mengecam keras pembunuhan Ismail Haniyeh pada 31 Julai lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






