BERITA SEMASAPMX

Ahmad Zahid ketuai Jawatankuasa Kabinet perkasa aspek halal – PM Anwar

UALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai sebuah Jawatankuasa Kabinet bagi memperkasa aspek pensijilan dan industri halal negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu turut berkata, jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan bagi menyelaras sinergi antara semua pihak terbabit bagi memanfaatkan sepenuhnya ekosistem halal negara, sekali gus mencipta peluang lebih besar dalam pasaran halal global.

“Pensijilan halal, memang kita dapat markah yang tinggi tapi saya mahu ia terus diangkat bukan sahaja dijadikan contoh oleh negara lain, termasuk dari aspek kecekapan dari segi penyelidikan bermutu serta keupayaan memberi kelulusan dengan sangat cepat dan pantas.

“Malah pemimpin dunia yang saya temui seperti China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Kemboja juga, bercakap mengenai industri halal dengan mereka memberi tumpuan kepada Malaysia… rugi besar kalau kita tidak bagi tumpuan khusus,” katanya ketika berucap merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2023, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahmad Zahid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perdana Menteri berkata, sinergi antara pensijilan halal dengan promosi perdagangan amat penting dan ia menuntut semua pemain industri halal tempatan, jabatan dan agensi berkaitan mengetepikan amalan bekerja secara silo.

Tambah beliau, soal halal bukan hanya berkait dengan makanan dan minuman, tetapi juga barangan lain seperti produk farmaseutikal, kosmetik, barang gunaan, perkhidmatan logistik, peranti perubatan dan pengilangan kontrak, di mana penilaian ‘halal lagi bersih’ yang diberikan boleh menarik minat negara bukan Islam.

“Jadi ini semua harus diselaraskan dengan HDC (Halal Development Corporation Bhd) dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), kerana ada pengkhususan dan sinergi dengan industri tempatan.

“Jika tidak, kita hanya akan perkenal dan luluskan pensijilan halal, tetapi tidak mengembangkan industri halal negara kita,” katanya lagi.

Dalam hal itu, Perdana Menteri mahu setiap langkah diambil Jakim dalam pensijilan halal, mesti seiring dengan perkembangan industri tempatan dan dunia, supaya kemampanan dalam industri halal membuka akses lebih luas kepada Malaysia di pasaran global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button