Ahli Parlimen Langkawi, isteri terjunam dalam parit
YAN – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Suhaimi Abdullah cedera ringan selepas kenderaan yang dinaikinya bersama isteri terbabit terjunam ke dalam parit dalam kemalangan di Jalan Sungai Dedap, di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi ketika Suhaimi dalam perjalanan ke pekan Sungai Limau untuk menziarahi seorang kenalan yang meninggal dunia.
Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal yang membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan beliau terpaksa mengelak, mengakibatkan keretanya terbabas ke tebing tali air di lokasi kejadian.
Pengerusi BERSATU Kedah itu mengalami kecederaan ringan pada bahagian bibir, manakala isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mereka dibantu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum kenderaan mereka berjaya ditarik keluar.
Kereta jenis Nissan Almera yang dinaiki dilaporkan mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.
Timbalan Pengerusi BERSATU Kedah, Datuk Salleh Saidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa pasangan itu berada dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah semua selamat. Terima kasih atas doa semua,” katanya memetik Buletin TV3.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








