BERITA SEMASA

Agong, Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Pahlawan kepada ATM, PDRM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Istana Negara menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Seri Paduka berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para perwira ATM dan PDRM atas jasa, khidmat dan bakti yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan dan menjaga keselamatan tanah air tercinta.

“Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Yang di-Pertuan Agong menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul amanah menjaga keamanan negara.

“Sesungguhnya jerih perih mereka, para pejuang tanah air pada masa dahulu dan sekarang adalah demi negara kita yang berdaulat,” menurut hantaran itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga roh mereka yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” kata Istana Negara.

Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytihar sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button