Agong mahu penjelasan kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing menjelaskan punca kelewatan pembinaan.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini masih dalam pembinaan.
“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan.
“Dan pada hari ini, saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan. Mengapa ia dirobohkan, saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan Jurutera Daerah Mersing,” titah baginda.

Justeru itu, baginda menitahkan papan tanda berkenaan dipasang semula di tapak projek pembinaan.
Sebelum ini, majlis pecah tanah kolam berkenaan telah disempurnakan oleh Sultan Ibrahim yang ketika itu adalah Sultan Johor pada Mei 2018.
Kolam selam tempur merupakan fasilitas yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompitensi individu dan tim khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.
Kemudahan tersebut turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti model olokan (mock up) kapal dan pintu masuk bagi kemasukan melalui udara serta banyak lagi kemudahan-kemudahan asas sokongan operasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






