
Agong kongsi gambar kenangan Kembara Mahkota Johor 2006
KUALA LUMPUR – Sempena pengumuman Kembara Diraja Jelajah Wilayah Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengimbas kembali detik-detik bersejarah Kembara Mahkota Johor pada tahun 2006.
Perkongsian itu turut disertakan beberapa gambar kenangan daripada album peribadi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Baginda semalam.

“Kenangan ini bukan sekadar gambar, ia adalah sejarah yang hidup, yang menyatukan hati antara rakyat dan raja,” kata Baginda menerusi hantaran tersebut.
Kembara Mahkota Johor yang mula diperkenalkan pada tahun 2001 ketika Sultan Ibrahim bergelar Tunku Mahkota Johor, merupakan acara tahunan yang cukup sinonim dengan Baginda.
Program itu mencerminkan pendekatan mesra rakyat, apabila Baginda mengetepikan protokol istana dan turun padang menyantuni masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Kenangan yang dikongsi bukan sahaja menjadi bukti keprihatinan Baginda terhadap rakyat, malah memperlihatkan komitmen tinggi Seri Paduka dalam memahami aspirasi dan kehidupan seharian rakyat jelata.
Menerusi jelajah Kembara Diraja yang akan datang, semangat yang sama dijangka diteruskan sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan rakyat dalam suasana yang lebih dekat, terbuka dan bermakna.
Kembara Diraja Jelajah Wilayah Persekutuan diumumkan semasa majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran bersempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda pada 2 Jun lalu.
Program itu bertujuan untuk Baginda melihat kehidupan rakyat dan mengagihkan zakat kepada golongan miskin serta asnaf.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |