BERITA SEMASA

Menteri Agama junjung kasih titah Agong laksana Kembara Diraja santuni asnaf

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berhasrat untuk melaksanakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan bagi menyantuni golongan asnaf serta menyampaikan agihan zakat secara langsung kepada mereka yang memerlukan.

Hasrat murni itu dizahirkan Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara kelmarin.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata seluruh agensi di bawah kementeriannya menjunjung titah tersebut dan menyatakan komitmen penuh untuk merealisasikan inisiatif berkenaan.

“Hasrat Seri Paduka Baginda mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan Institusi Diraja terhadap rakyat, khususnya golongan fakir, miskin dan rentan.

“Ia memberi inspirasi kepada seluruh pemimpin dan agensi untuk memperkukuh nilai kasih sayang, keadilan sosial dan budaya memberi dalam masyarakat,” katanya dalam semalam.

Menurut beliau, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perdana Menteri dan agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan program khas tersebut secara berfasa.

Inisiatif Kembara Diraja ini bertujuan menyampaikan agihan zakat secara terus kepada golongan asnaf fakir, miskin dan mereka yang memerlukan.

Ia juga menjadi medium untuk menilai keperluan sebenar rakyat melalui pendekatan turun padang yang lebih mesra rakyat serta mempertingkat keberkesanan sistem penyampaian bantuan zakat.

Selain itu, inisiatif ini turut bertujuan mengukuhkan hubungan erat antara Institusi Diraja dan rakyat jelata, sekali gus memperkukuh nilai kasih sayang, keprihatinan serta budaya memberi dalam kalangan masyarakat.

“Sesungguhnya, semangat kepedulian yang dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda amat menginsafkan dan menjadi teladan kepada semua,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT sentiasa memberkati pemerintahan Seri Paduka Baginda serta dikurniakan kekuatan dan ilham dalam memayungi negara dan rakyat ke arah rahmat dan kesejahteraan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button