Agong, Permaisuri berkenan ke majlis tahlil sempena sambutan Hari Pahlawan di Masjid Negara
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Masjid Negara, di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada kira-kira 5.30 petang disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam satu kenyataan, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pahlawan negara yang disifatkan sebagai tonggak utama dalam menjamin keamanan serta keharmonian tanah air.
“Jasa dan pengorbanan pahlawan dan perwira kita, pastinya akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai momen penting dalam memastikan keamanan, keselamatan dan keharmonian negara terus kukuh serta dipertahankan.
“Semoga Allah menempatkan para pahlawan dan perajurit yang telah berkorban darah dan nyawa demi keamanan tanah air dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” ujar beliau di Facebook.
Sementara itu, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran kenamaan iaitu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama lebih 2,000 jemaah terdiri daripada penjawat awam, wakil agensi kerajaan dan pelajar sekolah tahfiz.
Sambutan Hari Pahlawan diraikan pada 31 Julai setiap tahun bertujuan mengenang jasa pahlawan negara, selain menyemai semangat patriotisme dan cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








