Agong dimasyhur Penaung Utama Persekutuan Pengakap Malaysia
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan dimasyhurkan sebagai Penaung Utama Persekutuan Pengakap Malaysia dalam satu istiadat penuh adat di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara, hari ini.

Pemasyhuran itu disempurnakan melalui ucapan oleh Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin yang mempersembahkan pengiktirafan tersebut kepada Seri Paduka Baginda.
Menurutnya, pemasyhuran itu dibuat berlandaskan Bahagian II, Seksyen 1, Perkara 11(1) Dasar Pertubuhan Peraturan (POR) 2010, selaras dengan Akta Parlimen 784 – Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia 1968 (semakan 2016).
Pada majlis sama, Seri Paduka Baginda turut dianugerahkan Bintang Semangat Padi Emas Kelas Pertama oleh Persekutuan Pengakap Malaysia sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan keprihatinan Baginda terhadap gerakan kepengakapan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shaziy Ismail Bakti; Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Zamani Tambichek; dan Bendahari Majlis Pengakap, Tan Sri Abdullah Taib.
Istiadat itu mencerminkan penghormatan tertinggi terhadap Seri Paduka Baginda yang sentiasa menzahirkan komitmen dalam memperkasa peranan kepengakapan sebagai wadah pembinaan sahsiah dan kepimpinan generasi muda negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








