
Agensi Nuklear Malaysia, LTKN lancar varieti baharu kenaf
Hasilkan keluaran lebih tinggi, berdaya tahan hadapi perubahan iklim
KOTA BHARU – Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melancarkan dua varieti benih kenaf baharu yang menawarkan potensi hasil lebih tinggi dan lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Varieti baharu berkenaan, MK1 dan MK2 dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi penyinaran gama, di mana benih MK1 dihasilkan melalui penyinaran gama pada dos 300 Gray (Gy) dan MK2 pada dos 800 Gy.
Kaedah mutasi teraruh ini digunakan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf supaya lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi.
MK1 dan MK2 menunjukkan peningkatan hasil yang ketara berbanding varieti induk V36 yang telah digunakan melebihi 15 tahun di Malaysia.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Hotel Renai di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia Dr. Rosli Darmawan.
Varieti MK1 dan MK2 telah mendapat pengiktirafan rasmi melalui kelulusan Pemfailan Varieti Baharu Tumbuhan (PVBT) daripada Jabatan Pertanian Malaysia dengan nombor pemfailan PVBT 003/25 (MK1) dan PVBT 004/25 (MK2).
Nama MK merujuk kepada ‘Malaysia Kenaf’ sekaligus memperkukuh identiti tempatan dalam usaha memperkasa industri kenaf negara.
Pembangunan varieti baharu tersebut adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi
Usaha tersebut selari dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara melalui inovasi sains dan teknologi.
Kerjasama strategik ini membuktikan potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif sejajar dengan usaha kerajaan memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim.
Agensi Nuklear Malaysia akan terus komited dalam merakyatkan teknologi nuklear melalui pembangunan penyelesaian inovatif yang memberi impak langsung kepada rakyat, sektor industri dan ekonomi negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |