Agartana perkasa penyelidikan gaharu melalui dana pendidikan lestari
SUNGAI PETANI – Usaha menyatukan alam semula jadi, sains dan komuniti melonjak ke tahap baharu apabila Heartana Global Berhad melancarkan Dusun Agartana di Bukit Selambau di sini, sekali gus menandakan langkah penting dalam inisiatif kesejahteraan lestari jenama itu.
Pengasas Heartana Global Berhad, Jessica Tan berkata, penubuhan Agartana bertujuan membantu masyarakat, selaras dengan pelancaran Dana Pendidikan Agartana dan penanaman pokok oleh 100 pelanggan pertama yang mencerminkan komitmen terhadap kelestarian dan pendidikan.
Beliau berkata, pelancaran Dana Pendidikan Agartana diwujudkan bagi melahirkan generasi inovator gaharu serta memperkukuh penyelidikan dalam bidang kesejahteraan dan kelestarian.
“Agartana ditubuhkan dengan matlamat membantu masyarakat membina kesejahteraan dan kemakmuran yang harmoni dengan alam.
“Dengan penanaman pokok oleh 100 pelanggan pertama serta pelancaran Dana Pendidikan Agartana, kami merealisasikannya dengan gabungan kelestarian, pendidikan dan matlamat yang bermakna.
“Selain itu, perkongsian ilmu juga merupakan teras misi kami, dan kami mengalu-alukan kerjasama dengan lebih banyak universiti bagi memajukan bidang gaharu serta inovasi kesejahteraan mampan,” tambahnya.
Sebagai rekod, melalui Dana Pendidikan Agartana, sebanyak tiga peratus daripada setiap pembelian pokok akan disalurkan untuk biasiswa, latihan industri serta penyelidikan berkaitan gaharu dan inovasi kesejahteraan.
Dana tersebut menggunakan teknologi blockchain bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti, serta boleh diakses melalui laman web rasmi Agartana.

Terdahulu, majlis pelancaran Dusun Agartana turut menghimpunkan 100 pelanggan pertama Agartana bersama tetamu kehormat yang turut menanam pokok gaharu masing-masing sebagai simbol sokongan kepada usaha berteraskan alam dan ilmu.
Turut hadir, wakil Ay Kang Pharmaceutical Co. Ltd. dari Taiwan selaku rakan strategik dalam bidang inovasi kesihatan berasaskan gaharu, serta Pengarah Urusan Kumpulan Antah Strategic Services, Tunku Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin dan Pengarah Eksekutif Antah Commodities Trading, Tengku A’liaa Muna Tengku Abdul Rahman.
Kehadiran mereka yang turut menanam pokok gaharu menjadi simbol sokongan terhadap visi Agartana membina legasi kesejahteraan mampan berasaskan ilmu dan alam.

Agartana Orchard yang berkeluasan 26 ekar memperuntukkan 20 ekar bagi penanaman pokok milik pelanggan, manakala selebihnya akan menempatkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D Centre) pada suku ketiga tahun 2026 serta fasiliti kesejahteraan pada fasa berikutnya.
Dalam kenyataan, Agartana Orchard memaklumkan, selain nilai warisan dan budayanya, gaharu turut diiktiraf mempunyai potensi besar dalam pelbagai industri.
Justeru, Agartana memberi tumpuan kepada manfaat gaharu dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan, khususnya bagi tujuan terapeutik dan pemulihan semula jadi.
Dalam memperkukuh peranan pendidikan, Agartana turut mengumumkan Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) Hospital UTAR sebagai rakan universiti pertamanya.
Kerjasama itu katanya akan dimeterai secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada Disember ini.
“Menerusi kerjasama tersebut, pelajar dan penyelidik UTAR akan menjalani latihan praktikal di Agartana Orchard meliputi analisis tanah, inokulasi, pengurusan perosak dan penuaian, manakala peserta cemerlang berpeluang menerima tawaran kerjaya bersama Agartana,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






