
Afdlin Shauki buat laporan polis, nafi dakwaan terlibat salah laku projek DBKL
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki telah membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa beliau terlibat dalam salah laku bagi perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Afdlin dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut, selain menyifatkan ia adalah agenda yang sengaja dilakukan untuk memburukkan namanya.
“Baru-baru ini, tular hantaran dalam Telegram yang cuba mengaitkan saya dengan tuduhan salah laku dalam perolehan satu projek di bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Pertama sekali, saya menafikan sekeras-kerasnya terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek ini.
“Untuk perhatian saudara saudari sekalian, ini adalah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya.
“Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam tidak bertempat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram milik beliau semalam.
Semalam, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial, semalam.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Dalam kenyataan sama, Afdlin berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan berhubung salah laku itu.
“Saya bersedia memberi kerjasama penuh dalam siasatan dijalankan berhubung isu ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.
“Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan untuk berleluasa.
“Saya yakin dan pasti dengan izin Allah akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” ujarnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |