AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Aerotrain baharu KLIA beroperasi 1 Julai

SEPANG – Perkhidmatan Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mula beroperasi pada 1 Julai ini, selepas berjaya melalui ujian teknikal dan persiapan akhir.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, projek naik taraf Aerotrain yang dimulakan pada 2022 itu kini berada dalam fasa terakhir selepas menamatkan ujian operasi tanpa gangguan (Fault-Free Run – FFR) dan pemeriksaan keselamatan menyeluruh.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, ketiga-tiga tren Aerotrain telah mencapai jarak operasi yang ditetapkan iaitu 2,000 kilometer untuk tren pertama dan 1,000 kilometer bagi dua lagi tren, bagi memastikan kesemua unit sedia untuk beroperasi.

“Ujian ini dilakukan di bawah pemantauan ketat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan sistem memenuhi keperluan teknikal dan keselamatan yang ditetapkan,” katanya dalam sesi taklimat media semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan wakil media turut diberi peluang menaiki Aerotrain baharu dalam sesi pratonton khas.

Mengulas lanjut, Izani berkata, pihaknya kini menjalankan ujian menyeluruh termasuk pelaksanaan pelan tindak balas kecemasan serta simulasi pergerakan penumpang dengan penglibatan kakitangan sukarelawan bagi memperkemas operasi.

“Aerotrain merupakan sistem yang kompleks dan memerlukan integrasi rapi antara pelbagai komponen.

“Kami juga berterima kasih kepada APAD dan Kementerian Pengangkutan atas kerjasama erat sepanjang pelaksanaan projek ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, projek yang dilaksanakan bersama kontraktor utama, Alstom dan rakan konsortium itu juga berjaya disiapkan mengikut bajet ditetapkan dan sedang menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkuasa untuk memulakan operasi.

Projek Aerotrain baharu itu adalah antara inisiatif utama dalam usaha memodenkan kemudahan di KLIA, selain mempertingkat kecekapan operasi dan keselesaan penumpang, sekali gus mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button