BERITA SEMASA

ADUN Penanti pertama daripada PKR meninggal dunia, PM rakam ucapan takziah

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Abdul Rahman Abdul Kadir yang meninggal dunia hari ini.

Anwar berkata, Allahyarham merupakan ADUN pertama daripada Parti Keadilan Nasional (kini PKR) ketika parti itu pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada tahun 1999.

“Beliau antara pendiri dan pengasas PKR, serta menjadi asas kekuatan parti di Pulau Pinang. Bagi pihak parti, saya merakamkan ucapan takziah setingginya, dan kehilangannya amat dirasai,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu Anwar mengadakan lawatan kerja beliau ke Pulau Pinang.

Dalam pada itu Anwar, turut menyatakan hari ini merupakan detik yang amat menyedihkan buat dirinya dan keluarga besar PKR, memandangkan sumbangan besar Allahyarham terhadap perjuangan parti sejak awal penubuhan.

Anwar turut berkongsi mengenai peranan anak kepada Allahyarham, iautu Rozaid Abdul Rahman, yang juga mantan Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri yang telah meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.

“Saya mendoakan agar segala dosanya diampunkan dan rohnya diberi tempat yang teristimewa di sisi Allah SWT,” ujarnya.

Allahyarham Abdul Rahman Abdul Kadir pernah berkhidmat sebagai ADUN Penanti dari tahun 1999 hingga 2004, dan dikenali sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang lantang memperjuangkan isu-isu kebajikan masyarakat setempat.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh struktur awal PKR di Pulau Pinang serta menjadi antara tokoh yang membantu memperluas pengaruh parti di peringkat akar umbi.

Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada PKR dan arena politik negeri Pulau Pinang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button