
SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan tidak sedarkan diri akibat serangan jantung, petang semalam.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, kejadian itu berlaku ketika Saiful Yazan dalam perjalanan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan hari ini bahawa Saiful Yazan kini berada dalam keadaan stabil dan mula memberi tindak balas.
“Saiful Yazan kini berada dalam keadaan stabil, sudah mula sedar tetapi masih memerlukan pemantauan rapi di wad rawatan jantung (CCU) di IJN. Semalam saya dan beberapa pemimpin UMNO ada melawat beliau di IJN tetapi ketika itu beliau tidak sedarkan diri lagi.
“Namun tadi kami dimaklumkan oleh isterinya Datin Shaliza Idris, keadaannya semakin stabil, sama-samalah kita berdoa semoga dia kembali sihat,” katanya kepada BERNAMA< hari ini.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu itu berkata Saiful Yazan sebelum ini diketahui tidak pernah menghidap apa-apa penyakit dan semalam adalah kejadian pertama dia mengalami serangan jantung.
Saiful Yazan yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Pilah merupakan ADUN Johol sejak 2018 selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tahun lepas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






