Berita Semasa

Ada kemungkinan ahli GISBH tidak sertai program pemulihan kerana tiada restu, arahan pimpinan tertinggi – Peguam

KUALA LUMPUR – Terdapat kemungkinan ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak akan menyertai program pemulihan yang dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana tidak mendapat restu pimpinan tertinggi kumpulan berkenaan.

Menurut peguam yang mewakili GISBH, Rosli Kamaruddin, mereka sebenarnya menyambut baik inisiatif berkenaan namun masih ada segelintir ragu untuk menyertai program berkenaan, lapor portal FMT.

“Ketika program yang sama diperkenalkan pada zaman (pengasas Al-Arqam) Ashaari Muhammad, beliau sendiri memberikan arahan supaya komuniti ini meninggalkan ajaran sesat dan kembali ke jalan yang benar, namun hari ini tiada pemimpin untuk memberikan arahan sedemikian,” katanya dalam laporan tersebut.

Rosli menambah, ada sebahagian daripada ahli pula tidak berminat untuk menyertai program itu kerana mereka menganggap kepercayaan dan amalan kumpulan itu sebagai tidak sesat.

“Namun keadaannya akan berbeza jika Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli lembaga pengarah dapat menasihati ahli untuk menyertai program pemulihan, tetapi malangnya mereka masih ditahan di bawah SOSMA,” katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Baharuddin Ahmad memaklumkan, kerajaan mewujudkan lebih 20 pusat pemulihan di seluruh negara bagi menempatkan ahli GISBH untuk menyertai Program Rehabilitasi secara sukarela.

Program yang dikendalikan bersama oleh MKN, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah sebagai inisiatif dalam usaha membimbing mereka untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Baharuddin berkata berdasarkan rekod diterima MKN, dianggarkan terdapat 10,500 ahli GISBH di seluruh negara.

Katanya, program itu akan dilaksanakan secara berperingkat selama 90 hari di beberapa pusat latihan kerajaan terpilih selain disediakan penginapan, makan dan minum sepanjang tempoh itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button