
Abdul Wahab dilantik KP baharu JBPM
UTRAJAYA – Datuk Abdul Wahab Mat Yassin dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkuat kuasa hari ini.
Majlis Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat ketua pengarah kelapan agensi itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Noor Azman Taib di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya, di sini.
Pelantikan tersebut bagi menggantikan Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid yang bersara wajib setelah mengakhiri perkhidmatan selepas 35 tahun dalam JBPM.
Abdul Wahab sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM sejak 12 Februari 2019 dan pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam jabatan, antaranya Pengarah Bahagian Operasi (2018 – 2019), Pengarah JBPM Pahang (2010 – 2018) dan Pengarah JBPM Terengganu (2008 – 2010).
Turut berlangsung pada upacara yang sama, majlis penyerahan nota serah tugas dan tongkat kuasa oleh Abdul Wahab kepada penggantinya, Datuk Edwin Galan Teruki.
Edwin sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM sejak 2021.
Tempatnya diisi pula oleh Datuk Nor Hisham Mohamad.
Edwin bahkan pernah bertugas sebagai Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran (2018 hingga 2021) serta Penolong Ketua Pengarah di bahagian tersebut (2008 hingga 2018).
Dari segi pengalaman, beliau diiktiraf selaku pakar bidang forensik kebakaran dan pernah mengetuai siasatan beberapa kes berprofil tinggi seperti insiden loji penapisan minyak.
Kepakaran beliau turut diiktiraf pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sehingga pernah dilantik sebagai penasihat pengajian Sains Forensik oleh kementerian berkenaan.
Nor Hisyam pula sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan pernah menyandang banyak posisi penting di JBPM selain terlibat dalam beberapa misi tugasan besar di seluruh negara termasuklah sebagai komander operasi kebakaran.
Antaranya ialah insiden kebakaran terminal minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor dan kes feri karam di Belaga, Sarawak yang telah mengorbankan seramai 181 mangsa.
Beliau turut berperanan sebagai komander kanan operasi mencari dan menyelamat insiden helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak ketika Pilihan Raya Negeri pada 2016.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |