BERITA SEMASA

‘A-‘ layak ke Matrikulasi – KPM

SELAYANG – Kementerian Pendidikan menegaskan gred A- masih dianggap cemerlang dan tidak pernah diketepikan dalam proses permohonan ke Program Matrikulasi, kata menterinya, Fadhlina Sidek.

Beliau menjelaskan kementerian itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menyatakan pelajar yang memperoleh A- tidak layak memohon program berkenaan.

“Saya perlu betulkan persepsi itu. Kita tidak pernah sama sekali menyebut bahawa A- bukan cemerlang atau tidak layak ke matrikulasi,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2024 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, proses kemasukan ke Program Matrikulasi bagi tahun ini berjalan lancar dan antara yang paling tersusun pernah dilaksanakan.

“Tahun ini merupakan tahun paling tenang bagi urusan kemasukan matrikulasi. Sebanyak 86 peratus pemohon layak terdiri daripada pelajar yang mengambil sembilan subjek dan memperoleh 9A manakala hanya 14 peratus daripada kelompok pelajar 10A,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan sistem pengambilan matrikulasi kekal berasaskan penilaian merit dan memberi keutamaan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tanpa meminggirkan pelajar yang memperoleh A-.

“Pelajar yang mendapat A- tetap layak dan akan melalui proses penilaian seperti biasa termasuk pengiraan merit. Kita pastikan semua anak diberi peluang secara adil mengikut merit, keutamaan, kuota dan kemampuan masing-masing,” katanya.

Menurut Fadhlina, pelajar yang memperoleh 10A+ dan A solid kekal menerima kelayakan automatik ke Program Matrikulasi sebagaimana dasar sedia ada.

“Dasar itu tidak berubah. Bagi pelajar lain termasuk yang mendapat A-, mereka tetap dinilai secara telus. Jangan risau, kita akan bantu semua, insya-Allah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button