BERITA SEMASAHIBURAN

A. Aida masih dirawat di ICU – Anak

KUALA LUMPUR – Penerbit terkenal, Datuk A. Aida masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan, di sini.

Anak sulungnya, Wan Az Aleesa,29, berkata, dia dan ahli keluarga memohon orang ramai mendoakan ibunya yang dilaporkan rebah selepas menjalani sesi fisioterapi, Khamis lalu, pulih segera, lapor BH Online.

“Sekarang mama dalam proses pemulihan dan mohon semua faham dengan keadaan mama.

“Mama perlu banyak berehat dan saya minta rakyat Malaysia tolong mendoakan kesihatan mama. Buat masa ini, tiada lawatan dibenarkan supaya mama dapat berehat.

“Mama di ICU bagi memberi peluang dia berehat dan mendapat penjagaan. Mohon semua doakan mama kembali sihat. Apa yang penting tolong doakan untuk mama,” katanya, hari ini.

Pagi tadi, adik Wan Az Aleesa, iaitu pelakon, Azeva Natassha, 24, memuat naik hantaran di Instagram (IG), memohon orang ramai mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan ibunya.

“Dengan penuh rasa dukacita dan rendah hati, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan ibu saya, Zaidah Awang, yang kini berada di ICU.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya, mengurniakan kesembuhan yang segera, menghapuskan segala sakit dan penderitaan serta memberikan kekuatan kepadanya untuk kembali sihat.

“Semoga doa kita semua diperkenankan oleh-Nya dan ibu saya diberi peluang untuk terus bersama keluarga yang amat menyayanginya. Aamiin ya Rabbal ‘alamin,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang rebah selepas menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan dan dimasukkan ke ICU.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button