
98 peratus graduan TVET KKDW berjaya tembus pasaran kerja
KUALA LUMPUR – Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencapai 98 peratus tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu membuktikan laluan TVET bukan sahaja menjanjikan peluang pekerjaan yang luas malah membuka masa depan lebih cerah.
Beliau berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan akses pendidikan serta latihan kemahiran berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Saya menyeru pelajar dan ibu bapa agar tidak melepaskan peluang untuk membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing menerusi TVET. Ia sejajar dengan minat dan kecenderungan individu, selain menjadi alternatif kepada laluan akademik konvensional,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menegaskan bahawa Sistem Pendidikan TVET di bawah KKDW telah melahirkan ramai tenaga mahir, profesional, teknologis dan usahawan berjaya.
Menurutnya, seramai 402,956 calon berdaftar telah menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan beliau mengucapkan tahniah atas usaha serta kesungguhan mereka sepanjang tempoh peperiksaan.
“Namun, tamatnya SPM bukan penamat. Ia adalah permulaan kepada fasa baharu kehidupan. Kini, tibalah masanya untuk pelajar menentukan hala tuju sama ada dalam pendidikan tinggi atau bidang kerjaya,” katanya.
Beliau berkata, terdapat 1,398 institusi TVET merangkumi 673 institusi TVET awam di Malaysia, 697 institusi TVET swasta serta 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.
Beliau turut menjelaskan bahawa peluang menyambung pengajian dalam TVET terbuka sepanjang tahun menerusi Sistem UP_TVET.
“UP_TVET Flexi, yang mula diperkenalkan sejak Januari 2025, membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal mengikut kesesuaian jadual masing-masing. UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula akan dibuka untuk permohonan pada April 2025,” katanya.
Tambah beliau, sebagai peneraju utama pembangunan tenaga mahir luar bandar, KKDW turut menyediakan pelbagai program TVET yang memenuhi keperluan industri negara. Sebanyak 280 institusi di bawah KKDW, termasuk MARA, KEMAS, JAKOA, PERDA, KEDA, RISDA dan KETENGAH, menawarkan 529 program dari peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja.
“Dengan peluang dan sokongan yang tersedia, saya yakin lebih ramai belia akan memilih TVET sebagai platform utama dalam membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |